Operasi Khidmat Masyarakat (OPKIM) merupakan satu program tahunan anjuran Persatuan Mahasiswa/i Perubatan UKM (PERSIAP) yang amat ditunggu-tunggu oleh hampir keseluruhan pelajar fakulti perubatan. Hal ini kerana aktiviti seperti ini mengandungi program-program kemasyarakatan yang memerlukan mahasiswa keluar dari pagar universiti untuk berkhidmat pada masyarakat terutamanya penduduk kampung. Operasi pada kali ini akan disertai seramai 80 orang pelajar fakulti perubatan tahun 2. Sebagai sebuah pusat kecemerlangan ilmu yang berorientasikan pendidikan dan pengetahuan kepada masyarakat, Universiti Kebangsaan Malaysia menyambut baik aktiviti ini dengan memberi sumbangan, khidmat nasihat dan inisiatif kepada pelajar untuk melaksanakannya. Selain itu, aktiviti ini selari dengan objektif hubungan dua hala di antara pelajar dan kelompok sosial tertentu, membantu proses pembelajaran tidak formal kepada para pelajar bagi mematangkan sikap dan pemikiran mereka. Selain itu, ia juga membolehkan hubungan dijalinkan antara pihak universiti dengan masyarakat tanpa mengira taraf hidup, etnik, agama, pendidikan dan budaya. Oleh yang demikian, program ini diharapkan dapat memberi keyakinan kepada para pelajar bagi menghadapi masyarakat luar sekaligus memperaktikkan teori yang dipelajari dan juga dapat mencapai objektifnya.
0 comments:
Post a Comment